Friday, May 9, 2008

Renungan bersama

Sayyidina Umar Al-Khattab Radiyallahu 'anhu telah berpesan kepada Sa'ad bin Abi Waqqas Radiyallhu'anhu dan bala tentera yang berada di bawah pemerintahannya untuk menghadapi Empayar Parsi dengan menegaskan :






Maka sesungguhnya aku berpesan kepada kamu dan mereka yang bersama kamu di kalangan tentera supaya bertaqwa kepada Allah dalam semua keadaan. Maka sesungguhnya bertaqwa kepada Allah itu sebaik-baik persediaan untuk menghadapi musuh dan sebaik-baik taktik di dalam peperangan. Aku memerintahkan kamu dan siapa sahaja yang bersamamu supaya lebih berhati-hati terhadap diri kamu lebih daripada terhadap musuh kamu , kerana dosa yang dilakukan oleh bala tentera kita sepatutnya lebih ditakuti mereka daripada takutkan musuh. Sesungguhnya diberi pertolongan kepada orang-orang Islam itu dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka terhadap Allah. Kalau tidak begitu maka kita tidak ada kekuatan yang setanding dengan mereka, kerana bilangan kita tidak seperti bilangan mereka, kelengkapan kita tidak seperti kelengkapan mereka, jika kita sama sahaja mengerjakan maksiat maka mereka melebihi kita dari segi kekuatan. Kalaulah kita tidak diberi pertolongan menghadapi mereka dengan kemuliaan yang ada pada kita ('amal salih dan meninggalkan maksiat) nescaya kita tidak dapat mengalahkan mereka dengan kekuatan yang ada pada kita. Ketahuilah bahawa bersama kamu ketika kamu menjalankan tugas, para malaikat yang ditugaskan oleh Allah untuk menjaga amalan kamu. Maka malulah kepada mereka, janganlah kamu melakukan kerja menderhakakan Allah sedang kamu berjuang di jalan Allah. Janganlah kamu berkata : "Sesungguhnya musuh kita lebih jahat daripada kita, maka Allah tidak membolehkan mereka menguasai kita." Beberapa banyak telah berlaku adanya kaum yang dikuasai oleh orang-orang yang lebih jahat daripada mereka seperti yang pernah berlaku ke atas Bani Israel apabila mereka mengerjakan maksiat,lalu orang-orang kafir Majusi menguasai mereka, lalu mereka bermaharajalela dikampung-kampung, adalah suatu janji yang berlaku. Oleh itu pohonlah pertolongan kepada Allah untuk menghadapi diri kamu sebagaimana kamu memohon pertolongan kemenangan untuk menghadapi musuh kamu dan aku juga bermohon kepada Allah untuk kami dan untuk kamu.

No comments: